Wednesday, 22 April 2015

AIR SELANGOR : SIDANG DUN SELANGOR JADI PUNCA LEWAT BERI TARIKH LANJUTAN PERJANJIAN INDUK













Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali memberi alasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menjadi punca kepada kelewatan mengemukakan lanjutan tarikh akhir bagi Perjanjian Induk penstrukturan semula industri air negeri.





Malah beliau mengulangi janjinya untuk bertemu Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada minggu depan untuk membincangkan hal tersebut.





Azmin, kemudiannya turut ditanya mengapa sehingga kini gagal memberi jawapan balas terhadap surat Ongkili bertarikh 12 Mac lalu yang yang menggesanya memikirkan semula keputusan untuk tidak melanjutkan tarikh akhir Perjanjian Induk dan beberap perkara yang tertangguh.





"Walaupun saya belum jawab (surat) secara rasmi tetapi perbincangan di peringkat pegawai telah bermula pada minggu lepas. Dimana Setiausaha Kerajaan Negeri mengetuai delegasi bertemu dengan Setiausaha Kementerian. Bermakna kita menyambut baik hasrat kerajaan persekutuan untuk meneruskan rundingan dengan syarat mereka mesti berpegang dengn terma perjanjian asal.





"Oleh kerana sekarang ada DUN Selangor, jadi ada sedikit kelewatan. Mungkin pada minggu depan saya akan berjumpa Menteri," katanya yang ditemui pemberita seleps merasmikan Konvensyen Falak Selangor 2015 dan Seminar Pemerkasaan Pendidikan Ilmu Falak di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pagi tadi.





Kelmarin, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) memberitahu Kerajaan Selangor mempunyai masa hingga 30 April ini untuk memberi jawapan tentang pelanjutan tarikh akhir bagi Perjanjian Induk mengenai penstrukturan semula industri bekalan air Selangor.





Menterinya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata jika gagal berbuat demikian, Kerajaan Persekutuan akan menganggap bahawa Kerajaan Selangor tidak berminat menerima tawaran mengenai langkah penyusunan semula itu dan pengambilalihan penuh pemegang konsesi di Selangor seperti yang terkandung dalam Perjanjian Induk.





Menurut beliau, selepas tarikh akhir itu, Kerajaan Persekutuan akan mengambil langkah perlu mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2008 (WSIA) dan undang-undang berkaitan lain bagi memastikan kepentingan negara dan kebajikan rakyat dapat dilindungi.





Ongkili berkata kerajaan Selangor juga berterusan mendakwa bahawa tanah tempat terletaknya loji Bukit Nenas dan loji Semenyih adalah milik Selangor, tetapi dari segi undang-undang, perkara itu tidak berasas.





Beliau berkata perkara itu perlu diselesaikan kerana jika tidak, Perjanjian Induk akan terlerai dan Kerajaan Persekutuan perlu menggunakan pilihan lain, termasuk tindakan undang-undang untuk melaksanakan haknya.





Perbincangan yang diadakan sepanjang dua tahun lepas membawa kepada termeterainya satu memorandum persefahaman (MoU) mengenai penstrukturan semula bekalan air Selangor pada 26 Feb tahun lepas, Perjanjian Dasar Induk (MoA) pada 1 Ogos dan akhirnya Perjanjian Induk pada 2 September.






No comments:

Post a Comment