Selepas dikritik banyak pihak, Menteri Besar Selangor, Azmin Ali kembali membuka laluan kepada kerajaan Persekutuan bagi membincangkan isu perjanjian air yang beliau tamatkan baru-baru ini.
Bagaimanapun Azmin tidak menyertai perbincangan itu sebaliknya mewakilkan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi untuk berbincang dengan wakil Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Loo Took Gee.
Perbicangan kali ini berkisar mengenai syarat-syarat perjanjian penstrukturan air di negeri ini.
"Perbincangan bukan antara menteri dan menteri besar, ia antara pegawai tertinggi. Kerajaan negeri diwakili Datuk Khusrin dan saya diberitahu pihak sebelah sana diwakili KSU.
"Saya difahamkan perbincangan itu merupakan permulaan yang baik dan saya akan buat mesyuarat susulan dengan menteri (berkenaan)...saya harap kita mampu memuktamadkan semua semangat dan prinsip perjanjian ini secepat mungkin," katanya selepas melancarkan program sambutan Hari Air Sedunia 2015 peringkat negeri Selangor, pada Isnin.
Pada 9 Mac lepas, Mohamed Azmin memaklumkan bahawa kerajaan Selangor memutuskan untuk membatalkan perjanjian penstrukturan air itu atas alasan kerajaan Persekutuan melanggar beberapa terma Perjanjian Utama yang ditandatangani tahun lepas.
Azmin juga mendakwa kerajaan Persekutuan mahu merampas kedaulatan tanah Selangor apabila mahu mengambilalih tanah disepanjang paip projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2), ditanam.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili dalam reaksi balasnya berkata tanah berkenaan bukannya diambil secara terus sebaliknya atas dasar pajakan atau rizab.
Selangor perlu memberikan kuasa ke atas tanah, kepada kerajaan Persekutuan untuk melicinkan proses pembinaan dan penyelenggaraan LRAL2.
Kerajaan Persekutuan dala pada itu mendedahkan bahawa kerajaan negeri enggan menangani tiga daripada lapan syarat dalam perjanjian utama dengan kerajaan Persekutuan sekaligus melambat-lambatkan proses penstrukturan semula industri air di Selangor.
No comments:
Post a Comment