Mungkin kerana muak dengan tindakan pembangkang yang 'tidak habis-habis' membela Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) secara sinis menegur anak perempuan Anwar, Nurul Izzah, sewaktu perbahasan dewan rakyat yang masuk hari kedua, hari ini.
Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) 'mencuit' emosi Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) dan tindakannya yang cuba menyampaikan hujah mempertahankan bapanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat, semalam.
Izzah semalam ketika mewakili bapanya membacakan ucapan Ketua Pembangkang, sekali lagi menyelar keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman lima tahun penjara atas kesalahan meliwat.
"Saya kesian dengan Yang Berhormat Lembah Pantai (Nurul Izzah). Ye lah mana ada anak yang hendak mengaku ayahnya buat jenayah," katanya ketika membahaskan usul sama, hari ini.
Nurul Izzah yang tidak berpuas hati, bangkit mencelah perbahasan Azalina dan menyebabkan kedua-duanya saling bertikam lidah.
Perang mulut yang menggamatkan dewan itu mendorong Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ismail Said campur tangan dan meminta Azlina meneruskan ucapannya.
Dalam masa yang sama, Azalina menggesa Nurul Izzah dan keluarganya menerima serta menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah memutuskan Anwar sebagai bersalah.
Tidak terhenti di situ, perbahasan Azalina terus menggamatkan sesi persidangan apabila beliau menyentuh tentang 'pilih kasih' yang diamalkan puak pembangkang dalam soal undang-undang dan kehakiman negara.
Beliau yang memetik dakwaan Nurul Izzah bahawa badan kehakiman sebagai 'menjual diri kepada syaitan' menyifatkannya sebagai tuduhan berat kepada badan tersebut.
"Semua (pembangkang) menang tak apa, bila menang semua (sistem kehakiman) malaikat, tapi bila kalah semua syaitan. Ini yang menyebabkan rakyat confuse (keliru)", tempelak Azalina.
Ini menyebabkan beberapa anggota Parlimen pembangkang lain termasuk Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam) dan Mohamed Hanipa Maidin (PAS-Sepang) cuba mencelah dan saling berbalas hujah dengan Azalina.
Azalina yang terkenal sebagai seorang yang lantang bersuara, turut mencabar pembangkang yang mengamalkan profesion guaman supaya meletakkan jawatan sekiranya benar-benar merasakan institusi kehakiman negara dibelenggu 'syaitan'.
Beliau turut mengkritik pemilihan lokasi himpunan #KitaLawan yang dianjurkan pembangkang di ibu kota, "Pakatan Rakyat menguasai tiga negeri...buatlah di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan," selar beliau.
No comments:
Post a Comment