Bukan lagi rahsia PAS apabila umum kini mengetahui kewujudan 'barua' di dalam parti Islam itu yang mahu memisahkan kepimpinan golongan ulama dan profesional.
Ia kembali hangat diperkatakan akhir-akhir ini apabila Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz menyelar golongan berkenaan yang semakin galak menyerang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau tegas mendakwa usaha itu wujud sekian lama.
Bukan itu sahaja, Nik Abdul turut menempelak beberapa pimpinan PAS yang lain yang cuba menyembunyikan hakikat kewujudan 'barua' sebagaimana yang pernah disebut Hadi pada Muktamar PAS, pada September tahun lalu.
“Bukankah ‘barua’ itu daripada kalam Presiden? Bukankah sebahagian kita telah berkalam biadab di depan Presiden?
“Jangan dicabar anak-anak di bawah yang hidup terfitnah atas kesalahan kita sendiri.
"Kita yang di ataslah yang memulakan fitnah dan kemelut yang bermula daripada ‘kerja-kerja bodoh dalam PAS’ yang berusaha memisahkan Almarhum ayahanda Nik Abdul Aziz daripada Presiden PAS sejak bertahun dulu,” katanya melalui kenyataan di laman Facebooknya baru-baru ini.
Pemilihan PAS yang akan berlangsung Jun depan menyaksikan Hadi diserang bukan sahaja daripada golongan profesional di dalam parti, malah menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyusun langkah menggulingkan pemimpin tersebut sejak 1998.
“Fitnah itu tidur dengan kehendak Tuhannya. Bila ia dibangkitkan, tiada siapa boleh tidurkannya lagi. Biarkan ia berlalu pergi dan anda hanya perlu berpaut pada dahan yang kukuh. Keselamatan diri adalah lebih utama.
“Petunjuk Allah adalah jelas pada hari fitnah. Semakin anda memberanikan diri, semakin anda dilitupi debu dan asap. Justeru ‘Takutilah fitnah..’ dengan kembali mentaati Allah, al Rasul dan ‘ulil amri minkum’. Sunnah al khulafa’ al Rasyidin adalah petunjuk sepanjang zaman,” katanya.
No comments:
Post a Comment