Wednesday, 22 April 2015

PEMILIHAN PAS: HADI DIJANGKA DICABAR







Sejak hampir 13 tahun memegang jawatan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah dicabar pemimpin lain ketika pemilihan.



Bagaimanapun, pada ketika ini di kala parti itu teruk dilanda badai akibat pergolakan golongan ulama dan profesional, Hadi dijangka berdepan dengan tentangan hebat dalam mempertahankan jawatan presiden.



Terbaharu, seorang pemimpin kanan PAS yang enggan dinamakan berkata, Hadi berkemungkinan berdepan dengan saingan lebih daripada seorang calon.



Kenyataan tersebut sekaligus menyangkal kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali beberapa hari lalu yang mengatakan jawatan presiden tidak akan dipertandingkan kerana tidak ada pemimpin berkebolehan untuk mencabar Hadi yang mendapat sokongan kumpulan pro-ulama.



"Biarkan jawatan presiden dipertandingkan. Dari segi perlembagaan, semua jawatan eksekutif adalah terbuka kepada pencalonan dan pertandingan. Ini makna demokrasi," ujarnya.



Beliau juga bersetuju dengan cadangan oleh beberapa pemimpin sederhana supaya Hadi dinaikkan taraf kepada mursyidul am parti menggantikan tugas pernah digalas oleh Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.



"Bagilah beliau (Hadi) kehormatan. Naikkan tarafnya daripada menjatuhkannya," tambahnya.



Kata pemimpin itu lagi, PAS tidak ketandusan pemimpin dan memberi contoh seperti Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahmad Awang, Datuk Husam Musa, Mujahid Yusof Rawa dan Salahuddin Ayub.



"Dengan membenarkan pertandingan, perwakilan akan berpeluang untuk mendengar idea baru dan cara lain bagi menyelesaikan masalah," katanya.



Seorang calon perlukan dua pencalonan daripada bahagian untuk layak bertanding.



No comments:

Post a Comment