DAP perlu cermin diri sebelum menggelar PAS sebagai pengkhianat kerana parti itu juga pernah membelakangkan PAS, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata tiada istilah ‘khianat’ kerana DAP menerusi penasihatnya Lim Kit Siang telah menandatangani kenyataan bersama pada tahun 2011 yang ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dalam pelaksanaan hukum hudud.
“Kami buat kenyataan bersama bahawa kami (Pakatan Rakyat-PR) menerima hakikat itu adalah hak kerajaan Kelantan (untuk melaksanakan hudud) dan kami beri ruang kepada DAP untuk tidak bersetuju.
“Kami tidak halang mereka untuk tidak setuju. Kami bukan orang Melayu yang mudah lupa. Kami orang Islam yang tidak lupa.
“Macam dalam isu pilihan raya PBT, kami (PAS) tidak setuju, tapi DAP tetap kemuka dalam (sidang) dewan (undangan) negeri dia (Pulau Pinang). Kami diam, tapi mereka tidak diam (dalam isu hudud). Itu bezanya,” katanya selepas menjayakan program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Terangganu.
Hadi mempertahankan tindakan kerajaan negeri Kelantan memperjuangkan hudud dan tindakannya sendiri menghantar usul pembentangan hukum itu kepada Setiausaha Dewan Rakyat agar Rang Undang-Udang (RUU) pelaksanaan hudud dibentang pada sidang Parlimen akan datang.
Katanya, PAS perlu diberi hak demokrasi seluas-luasnya untuk mejayakan apa yang diperjuangkan mereka sejak dahulu lagi.
“Pakatan Rakyat merupakan satu pakatan yang longgar … memang ada dasar yang berbeza. Ada perkara yang sama dan ada perkara tidak. Kami tidak boleh halang (jika) ada dalam pakatan memberi pandangan berbeza,” katanya.
DAP dan PKR sebelum ini membantah hasrat PAS Kelantan untuk membuat pindaan pada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993.
Namun kerjaan negeri itu berdegil dan meluluskan pindaan enakmen itu selepas dua hari membahasnya di DUN Kelantan.
No comments:
Post a Comment