Jika sebelum ini panel jawatankuasa siasatan khas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed memaklumkan Timbalan Presiden, Mohd Sabu tidak disiasat berhubung dakwaan komplot menggulingkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, terbaru, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sendiri mengesahkan perkara berkenaan.
Jawapan yang diberikan Mustafa atau Cikgu Pa cukup mudah - tiada pengadu.
Katanya, pendedahan audio sahaja tidak cukup untuk memanjangkan kes ini, melainkan ada pihak yang tampil membuat aduan rasmi kepada parti berhubung dakwaan berkenaan.
"Itu tak ada pengadu.. Yang ada audio.. Ia mesti ada pengadu," ulasnya kepada pemberita baru-baru ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perkembangan siasatan berhubung gerakan menggulingkan Hadi yang didedahkan pelbagai pihak sebelum ini.
Audio Mat Sabu didedahkan oleh sebuah laman Facebook, Tuc Tok Usin Ceroi bulan lalu.
Audio berkenaan didakwa sebagai taklimat pemimpin itu dalam usaha mensabotaj dan menjatuhkan Hadi.
Ujar Mustafa, jawatankuasa siasatan khas buat masa ini sedang menjalankan siasatan terhadap aduan Ketua Pemuda PAS Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim berhubung usaha menjatuhkan Hadi dan kepimpinan ulama oleh sekumpulan pemimpin yang dikenali sebagai Hawaii Five O.
No comments:
Post a Comment