Wednesday, 22 April 2015

HUDUD PAS MAKIN PENINGKAN RAKYAT







Apabila kerajaan negeri PAS Kelantan mengumumkan mahu melaksanakan hudud, rakyat mula panik, risau sementelah ramai yang tahu hudud adalah potong tangan atau tangan dan rejam sampai mati.





Maka berdebarlah semua rakyat marhaen. Ada juga yang bimbang hukuman itu tersalah dikenakan ke atas pesalah. Ada juga yang risau hukuman itu dijalankan secara tidak telus.





Ketika ini, kerajaan negeri Kelantan seharusnya melipatkaligandakan usahanya untuk memberikan penerangan kepada rakyat tentang apakah sebenarnya hudud dan bagaimana ia akan dilaksanakan.





Namun disebabkan kekalutan politik, PAS Kelantan kelihatan terlalu terbatas dalam usahanya untuk menjalankan kerja-kerja penjelasan kepada rakyat.





Ini kerana parti itu kelam-kabut menangkis satu demi satu tuduhan ke atasnya oleh rakan kompenannya sendiri, PKR dan juga DAP.





Semalam, Naib Presiden PAS, Husam Musa tampil mendedahkan bahawa enakmen hudud yang diperjuang kerajaan negeri Kelantan tidak melibatkan hukuman rejam, potong kaki atau tangan dan hukuman salib.





Sebaliknya ia terbatas kepada kes zina, minum arak dan qazaf sahaja.





"Bukan semua di dalam enakmen itu boleh diamalkan (laksana), jadi hukumannya hanya setakat merotan. Tidak akan ada memotong tangan/kaki, dan yang lain-lain. Hukuman yang lain tetap ada dalam enakmen tetapi kita tidak boleh implement," kata Husam ketika menjadi ahli panel dalam sebuah forum di Shah Alam, malam tadi.





Perkembangan itu tentunya memeningkan lagi rakyat terhadap hukum itu sendiri.





Masing-masing mula tertanya, adakah hudud yang mahu dilaksanakan PAS tidak seiring dengan apa yang dituntut dalam Al-Quran?





Husam juga dipetik sebagai berkata bidang kuasa Mahkamah Syariah di Kelantan tidak merangkumi kes-kes yang diletakkan di bawah kanun undang-undang sivil, seperti liwat dan merompak.





"Ramai yang tidak faham apa yang terkandung dalam kertas kerja hudud yang ingin diajukan oleh (Presiden PAS Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang). Saya pasti jika orang ramai faham isi kandungan yang sebenar, mereka tidak akan risau tentang hudud," kata beliau.





Sebelum ini, pemimpin PKR, Latheefa Koya menuduh undang-undang hudud yang diperjuang PAS tidak selari dengan ajaran Al-Quran.





Beliau juga bertegas orang Islam harus menyokong hudud Allah dan bukan versi 'buatan manusia'.



No comments:

Post a Comment