Seperti yang dijangka, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bersikap dingin daripada memberikan sebarang kenyataan berhubung pembentangan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 bagi membolehkan pelaksanaan hukuman hudud di Kelantan.
Guan Eng ketika ditemui dalam satu majlis di Air Itam di Pulau Pinang, hanya berkata 'akan mengeluarkan kenyataan rasmi kepada media jika perlu'.
Beliau berkata demikian selepas ditanya oleh pemberita berhubung status hubungan PAS di dalam Pakatan Rakyat (PR) selepas kerajaan PAS Kelantan membentangkan hukum hudud hari ini.
"Saya tidak mahu memberikan sebarang komen. Tunggu sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan. Itu pun, jika perlu," katanya.
Pada Februari lalu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, memberi amaran kepada PAS berhubung status parti Islam itu di dalam PR sekiranya tetap melaksanakan hukum hudud.
Ia turut ditegaskan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang berkata pelaksanaan hukum hudud tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan serta terkeluar daripada polisi bersama pakatan pembangkang.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah pada 16 Mac lalu memberi amaran kepada DAP supaya berhenti daripada terus menghalang usaha parti itu untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
No comments:
Post a Comment