Tidak seperti Adun PKR Guchil yang menunggu arahan parti bersabit pendirian mengenai hukum hudud, hal yang sebaliknya pula berlaku kepada Umno-Barisan Nasional (BN).
Menurut Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad, Ahli Parlimen parti itu tidak diberikan arahan tertentu berhubung sokongan terhadap Enakmen Jenayah Syariah II (1993) 2015 apabila ia akan dibentangkan di Dewan Rakyat kelak.
Menurut beliau, ahli parlimen, khususnya yang beragama Islam, sewajarnya diberikan kebebasan untuk membuat pendirian sendiri jika ia melibatkan hal-hal agama dan kepercayaan.
"Saya tidak boleh bayangkan...sebagai contoh Barisan Nasional (BN) berkata 'oh, anda adalah BN, anda mesti, walaupun anda bukan orang Islam, anda juga mesti menyokong manakala bagi umat Islam, anda juga mesti menyokong'
"Saya rasa paling sesuai sekiranya undi tersebut mengikut suara hati mereka," katanya hari ini.
Ketika PAS membentangkan pindaan enakmen hudud sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, satu-satunya Adun PKR di negeri itu, Roslan Puteh (Guchil) tidak menghadirkan diri di sidang berkenaan.
Memetik jawapan Roslan, beliau memaklumkan ketidakhadirannya pada hari ini adalah kerana menunggu pendirian parti sama ada mahu menyokong atau menolak usul pindaan enakmen berkenaan.
Mengulas lanjut, Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru secara sinis mempersoalkan sokongan ahli parlimen PAS dan PKR yang beragama Islam terhadap enakmen berkenaan, jika ia dibentangkan di Dewan Rakyat kelak.
"Mereka juga memerlukan sokongan daripada semua Ahli Parlimen PAS, dan adakah semua Ahli Parlimen PAS akan menyokong, dan juga dari semua Ahli Parlimen dari PKR dan DAP yang beragma Islam?
"Saya berharap mereka mendapat sokongan yang mencukupi daripada PAS," katanya.
PAS Kelantan, walaupun mendapat sokongan penuh Adun Umno-nya, namun mendapat bantahan keras rakan sekutu mereka, DAP yang menganggap kerajaan negeri berkenaan telah 'tikam belakang' kerana mengingkari keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat (MPPR) yang dibuat pada 12 Mac lalu.
Ia sekaligus mendorong parti dominasi Cina itu untuk mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada Isnin ini untuk membincang dan memutuskan halatujunya bersama Pakatan Rakyat.
Shahrir ketika ditanya mengenai 'ugutan' MCA yang turut akan mengkaji hubungannya dengan Umno sekiranya parti itu menyokong pelaksanaan hudud, menjelaskan, persoalan berkenaan tidak patut ditimbulkan kerana ia membabitkan kepercayaan penganut agama Islam.
"MCA perlu sedar yang perkara iman dan jika jaminan telah dibuat bahawa ia secara khusus untuk umat Islam, ia tak beri kesan kepada mereka," ujarnya.
No comments:
Post a Comment