Wednesday, 22 April 2015

DAP BINCANG HALA TUJU BERSAMA PR ISNIN INI SELEPAS DAKWA PAS 'TIKAM BELAKANG'













Susulan tindakan PAS yang tetap berdegil membentangkan Enakmen Jenayah Syariah II (1993) 2015 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari ini, DAP akan mengadakan mesyuarat CEC pada Isnin ini (23 Mac) untuk membincang dan memutuskan halatuju DAP bersama Pakatan Rakyat (PR).





Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata PAS Kelantan telah melanggari Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan mengkhianati konsensus Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang dicapai pada 12 Mac lalu.





Dalam mesyuarat berkenaan, DAP meminta wakil PAS Kelantan yang membentangkan draf pada ketika itu untuk membawa pulang dan meneliti semula kerana menganggap draf berkenaan 'melangakui pindaan'.





"DAP menegaskan bahawa kami membantah sekeras-kerasnya tindakan PAS Kelantan yang mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 12 Mac 2015 dan merupakan satu tindakan provokasi untuk memecahkan Pakatan Rakyat.





"DAP konsisten dengan pendirian kami bahawa pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah atau Hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.





Ujar Ahli Parlimen Seremban itu lagi, agenda pelaksanaan hudud 'bukan dan tidak akan menjadi agenda bersama dalam Pakatan Rakyat', sejak dari hari pertama parti itu bekerjasama dengan PKR dan PAS dalam kerangka Pakatan rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-12.





Pendirian lantang DAP bersabit isu hudud dilihat bakal menoktahkan kerjasama parti itu bersama PR.





Namun, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dipetik berkata kerajaan negeri Kelantan tidak peduli mengenai bantahan rakan sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat bersabit pembentangan pindaan Enakmen.





Memetik kata Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, kerajaan negeri akan menyerahkan kepada Parlimen untuk meluluskan atau tidak pelaksanaan hudud di negeri itu selepas ADUN-ADUNnya membuat undian esok.






No comments:

Post a Comment