Pendedahan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa bahawa hudud yang diperjuangkan parti itu tidak melibatkan hukuman rejam, potong kaki atau tangan dan salib adalah benar.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjelaskan menerusi Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) yang ingin dipinda pada sidang Parlimen akan datang hanya melibatkan hukuman sebat sahaja.
Sebaik sahaja akta itu dipinda, barulah kerajaan negeri Kelantan akan memohon kebenaran Parlimen di bawah Perkara 76(a)(1) untuk memasukkan hukuman rejam, potong kaki atau tangan dan salib dalam pelaksanaan undang-undang Islam itu.
"Mungkin maksud dia (Husam) pindaan Akta 355 tu kerana pindaan itu tak libatkan rejam, potong tangan. Dia hanya menamakan hukuman yang sudah ada iaitu sebat. Kalau kita nak laksanakan rejam, potong tangan tu melibatkan rang undang-undang Perkara 76(a)(1).
"Pindaan Akta 355 tu betullah empat perkara sahaja.
"Di Kelantan tu ada semua tapi untuk membolehkan kita laksanakan keenam-enam kesalahan tu kita memerlukan pindaan kepada Akta 355 dan kebenaran Parlimen di bawah Perkara 76(a)(1)," katanya dipetik portal Antarapos.
Tambah Timbalan Menteri Besar Kelantan ini lagi, sekiranya usul itu diluluskan di Parlimen barulah langkah seterusnya diambil.
"Tengok kemudian, kita nak selesai satu-satu sebab yang tu memerlukan rang undang-undang yang lain.
"Langkah pertama kita selesaikan yang ini dulu, kalau yang ni lulus sudah cukup baik untuk kita," katanya.
Malam tadi dalam satu forum di Shah Alam, Husam berkata enakmen hudud yang diperjuang kerajaan negeri Kelantan tidak melibatkan hukuman rejam, potong kaki atau tangan dan hukuman salib.
Sebaliknya ia terbatas kepada kes zina, minum arak dan qazaf sahaja.
Ini kerana menurut beliau, bidang kuasa Mahkamah Syariah di Kelantan tidak merangkumi kes-kes yang diletakkan di bawah kanun undang-undang sivil, seperti liwat dan merompak.
No comments:
Post a Comment