Wednesday, 22 April 2015

DYANA SOFYA BIDAS PUTERI UMNO, PERTAHAN AKSI 'SELFIE' DI BILIK TIDUR
















Pemimpin muda DAP, Dyana Sofya Mohd Daud membidas kenyataan Ketua Penerangan Puteri Umno, Haryaty Hamdzah yang mengecam tindakannya berkongsi aksi 'selfie' di bilik tidur bagi menyokong aktiviti mengutip dana untuk membangkitkan kesedaran terhadap hak wanita.





Sambil mempertahankan aksi 'selfie' itu, Dyana berkata Puteri Umno sewajarnya menjadi sebahagian daripada pihak yang menyokong Kempen Wake Up To A Good Cause (Bangkit untuk Tujuan Baik), dan bukannya menghukum mereka yang ingin membangkitkan kesedaran berhubung hak wanita.





"Jelas sekali, Puteri Umno lebih suka menilai daripada luaran, dan dengan berbuat demikian hanya terus menindas wanita dan bukan membebaskan mereka.





"Jika gambar yang tidak bersalah dan tidak terdedah itu menggambarkan tingkah laku yang tidak sesuai untuk mereka, maka mungkin ia adalah mereka yang bermasalah.





"Adalah memalukan bahawa mereka tidak boleh menyalurkan sumber dan tenaga mereka ke dalam meningkatkan kesedaran dan membantu untuk menyelesaikan isu-isu wanita sebenar dan bukan mencaci golongan yang sebenarnya cuba untuk menyumbang kepada tujuan yang baik," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.





Haryati sebelum ini menyifatkan aksi 'bangun tidur' yang dikongsi Dyana sangat memalukan selain menyifatkan ia tindakan tidak manis dilakukan seorang wanita muda, lebih-lebih lagi beliau adalah calon wakil rakyat.





Dyana beberapa hari lalu memuat naik satu gambar 'selfie' di bilik tidur dengan memakai baju putih dan dipaparkan di majalah Marie Claire.





Ia merupakan sebahagian daripada kempen 'Wake Up To A Good Cause' bagi tujuan pengumpulan dana bagi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).





Kempen itu menyarankan kepada personaliti tempatan untuk merakamkan foto mereka tanpa solekan dan Marie Claire akan mendermakan RM10 untuk setiap foto yang dimuatnaik ke laman sosial Instagram.





Selain Dyana, ia turut disertai pelakon Sharifah Amani dan model Carmen Soo.





Mengulas mengenai perkara itu, jawab Dyana, gambar yang dimuat naik itu bukan satu gambar yang lucah atau tidak senonoh, malah langsung tidak mendedahkan badannya.





"Apakah dia mencadangkan bahawa wanita tidak dibenarkan untuk mengambil gambar yang baik dan kreatif untuk menggalakkan usaha-usaha yang membantu wanita?





"Kempen tersebut tidak terhad kepada model saja memandangkan sebagai penganjur berusaha untuk menampilkan wanita yang berinspirasi," ujarnya.





Bekas calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan itu dalam masa yang sama secara sinis menyarankan pemimpin Umno berkenaan meluangkan masa menonton dokumentari berhubung hak wanita bagi mempelajari keperluan melindungi wanita dalam membantu mewujudkan masyarakat yang bebas daripada keganasan terhadap kaum itu.

No comments:

Post a Comment