Gagal membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Parlimen, yang memulakan sesinya bagi penggal ke-3 hari ini, anak sulongnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai akan menggantikan sebagai Ketua Pembangkang, esok.
Nurul Izzah Anwar Ibrahim berkata beliau akan memastikan ucapan bapanya kedengaran di Parlimen walaupun tanpa jasadnya.
“Kita sedang berbincang dan insya-Allah saya akan mengambil tempat, dan akan pastikan walau apa pun ucapannya akan dibaca.
“Bahkan usaha untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir itu akan berterusan, ini adalah hak kami atas suara demokrasi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.
Izzah berkata beliau dan pemimpin pembangkang yang lain akan terus berusaha untuk mencari peluang agar Anwar dibenarkan hadir ke sidang tersebut.
Anwar yang masih memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh kini dipenjarakan lima tahun selepas didapati bersalah kerana meliwat bekas pembantu khasnya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Beliau kini menunggu keputusan pengampunan daripada Yang Di-Pertuan Agong (YDPA).
Sehingga keputusan itu diketahui, Anwar akan memegang jawatan itu, meskipun dirinya dipenjarakan di Penjara Sungai buloh.
No comments:
Post a Comment