Sesiapa yang membuat tuduhan liar terhadap hudud, disifatkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub sebagai 'tidak beriman'.
Beliau turut menggelarkan golongan berkenaan sebagai 'zalim dan tidak berperikemanusiaan'.
"Tuduhan yang menyatakan undang-undang ini zalim d
an tak perikemanusiaan adalah tuduhan liar yang terbit dari hati orang-orang yang tak beriman.
"Di sini saya nak jelaskan bahawa Kanun Jenayah II adalah terpakai kepada orang Islam sahaja iaitu orang Islam yang mukalaf yang melakukan kesalahan di bawah Kanun ini, di negeri ini.
"Ini bermakna, Kanun ini sama sekali tidak terpakai ke atas orang bukan Islam," " katanya ketika membentangkan Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 itu di Sidang DUN Kelantan, hari ini.
Selama ini DAP menjadi penentang utama terhadap hasrat PAS untuk melaksanakan hudud di negeri yang ditadbirnya.
DAP mendakwa hudud melanggari perlembagaan negara, sekaligus akan menggugat kebebasan mereka yang bukan Islam.
Meskipun tidak merujuk kepada DAP, Ahmad menegaskan beberapa kali keperluan untuk melaksanakan hudud di Kelantan.
"Hal ini demi menjaga kepentingan dengan tujuan menjaga dan mendidik serta mencegah masyarakat khasnya di Kelantan Malaysianya amnya daripada terjebak dengan jenayah yang jelas ditegah oleh syarak.
"Dengan terlaksana hukum syarak yang difardukan oleh Allah, kita yakin ianya akan dihakimi dengan keadilan yang hakiki, serta menjaga keselamatan berkait agama, diri, nyawa serta harta," kata beliau.
Ahmad berkata beberapa pindaan yang dibentangkan bertujuan memastikan enakmen syariah itu selari dengan undang-undang negara.
"Saya suka menjelaskan bahawa draf undang-undang ini telah disemak ..oleh pakar-pakar perundangan syarie, serta pegawai-pegawai perundangan dan pegawai-pegawai akademik yang berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan," kata beliau.
Kesemua 32 ADUN PAS dan 12 ADUN Umno dijangka menyokong pindaan itu esok, manakala ADUN tunggal PKR Roslan Puteh (Guchil) dijangka menolak atau tidak mengundi, selaras dengan pendirian parti.
Pindaan itu menyentuh tentang kesalahan jenayah syariah hudud, qisas dan ta'zir.
Mengikut Rang Undang-undang berkenaan, enakmen itu hanya terpakai kepada orang Islam yang mukalaf iaitu seseorang yang sudah mencapai umur 18 tahun dan sempurna akalnya.
Pindaan itu turut memperkemaskan hukuman yang membabitkan kesalahan liwat dan zina manakala pindaan lain melibatkan perkara teknikal, katannya yang juga seorang pengamal undang-undang.
Kesalahan hudud yang termaktub dalam pindaan itu turut membabitkan Sariqah (mencuri), Hirabah (orang yang merampas harta orang lain dengan kekerasan), Zina termasuk liwat, Qazaf (membuat tuduhan zina atau liwat), Syurb (minum arak atau memabukkan) dan Irtidad (murtad).
No comments:
Post a Comment