Sesi perbahasan pindaan Enakmen Jenayah Syariah II 1993 yang berlangsung pagi tadi secara tiba-tibanya 'dikejutkan' dengan tangis hiba pemimpin veteran Umno Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad.
ADUN Kok Lanas itu sebak ketika menyokong usul pindaan itu, kerana 'sedar' akan beratnya tanggungjawab dan cabaran yang bakal dipikul PAS Kelantan untuk melaksanakan undang-undang Islam itu.
Md Alwi merujuk kepada penentangan yang tiada henti daripada DAP.
"Saya sokong hudud ini kerana Allah. Umno juga sokong hudud kerana Allah bukan kerana politik. Kami sebulat suara sudah buat keputusan, walaupun sekarang ini saya yang sedang bercakap.
"Kita akan hadapi masalah yang besar, YB pun sedar kita akan semua akan hadapi masalah. Orang Islam akan hadapi masalah besar. Mereka akan datang dalam kumpulan besar untuk menghalang, cabaran kita besar, ini soal perlembagaan, undnag-undang... tapi marilah kita bersahabat untuk menghadapi rintangan ini," katanya.
Menguatkan lagi sokongan terhadap hasrat PAS Kelantan itu, Md Alwi melontarkan hujah bahawa perlembagaan negara tidak pernah menghalang mana-mana pihak daripada mengubah undang-undang yang termaktub di dalamnya.
"Mana-mana parti yang tidak mahu ikut (setuju cadangan) baiklah kita tinggalkan sahaja," ujarnya merujuk kepada sesetengah pihak yang dikatakan enggan menyokong usul tersebut.
Hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk meminda enakmen itu mendapat tentangan daripada rakan sekutunya DAP dan PKR.
Turut menghairankan apabila sokongan Naib Presiden PAS, Husam Musa bersabit usul berkenaan juga menimbulkan tanda tanya apabila kelibat ADUN Salor itu tidak kelihatan dalam DUN Kelantan pagi tadi.
Beberapa pemimpin PAS juga sebelum ini dilaporkan menggesa Kelantan menumpukan usaha kepada memulihkan negeri itu yang dilanda musibah banjir, akhir tahun lalu dan bukannya fokus kepada pelaksanaan hudud.
Kerajaan PAS Kelantan nekad membentangkan usul itu meskipun DAP berkali-kali mengugut dan meminta Pakatan Rakyat mengambil tindakan pada PAS.
DAP berkata hudud bukan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, namun parti itu lupa hudud sudah lama diperjuangkan PAS malah sebelum gagasan itu ditubuhkan.
Pakatan Rakyat juga sebelum ini bersetuju untuk 'tidak bersetuju' berkenaan pelaksanaan hudud dan tekad untuk berpegang kepada pendirian yang sama bagi memastikan kerjasama antara PAS, DAP dan PKR terus berjalan.
No comments:
Post a Comment