Ketidakhadiran ADUN tunggal PKR, Roslan Puteh ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini adalah disebabkan masih menunggu pendirian parti sama ada untuk menyokong atau menolak usul pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993.
Beliau mendakwa merancang untuk hadir ke persidangan tersebut sebaik sahaja pimpinan parti akan memberikan pendirian sekitar jam 2 petang tadi.
Oleh kerana persidangan DUN ditangguhkan pada jam 1 petang tadi, Roslan kemudiannya membuat keputusan untuk hadir pada esok hari.
Ditanya tentang pendirian PKR yang dikatakan mahu menolak cadangan pindaan itu, Roslan bagaimanapun enggan memberikan sebarang reaksi.
"Saya (tidak ke sesi DUN pagi kerana) masih menunggu keputusan parti berhubung perkara tersebut pada jam 2 petang tadi, namun saya dimaklumkan bahawa sidang dewan ditangguhkan ke esok. Jadi, saya hanya akan hadir ke DUN Kelantan pada esok hari," kata Roslan.
Roslan sebelum ini memberitahu pendirian PKR masih lagi rahsia dan hanya akan mengumumkannya ketika persidangan bermula.
Ketua Pembangkang, Datuk Norzula Mat Diah terdahulu tidak menolak ketidakhadiran Roslan pada sesi pembentangan usul pindaan pelaksanaan hudud hari ini, adalah disebabkan arahan parti.
Bukan sahaja Roslan, ADUN Salor, Datuk Husam Musa juga gagal untuk menghadiri sesi pembentangan pindaan enakmen itu, sekali gus menimbulkan 'tanda tanya' bersabit pendiriannya terhadap usul itu.
PKR sebelum ini membayangkan parti itu senada dengan DAP yang lantang menentang pelaksanaan hudud di Kelantan.
No comments:
Post a Comment