Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menafikan kritikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sepanjang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung sebagai satu serangan politik peribadi.
"Tidak apa, beliau mengambil ruang dalam Dewan dan itu hak beliau sebagai seorang ADUN. Beliau membangkitkan beberapa perkara dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberikan penjelasan.
"Ada beberapa fakta yang dikemukakan itu memerlukn penjelasan dan itu menjadi tanggungjawab saya dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) menggulung dalam sesi perbahasan kali ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Falak Selangor 2015 dan Seminar Pemerkasaan Pendidikan Ilmu Falak di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pagi tadi.
Khalid, sejak beberapa hari lalu mengambil kesempatan 'menyerang' dasar pentadbiran Azmin dalam pelbagai isu negeri, seperti kelewatan memuktamadkan pestrukturan industri air di Selangor.
Bukan itu sahaja, mantan menteri besar itu turut membidas tindakan Azmin membatalkan pembinaan projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex), termasuklah dakwaan bahawa amalan pemberian tender terbuka yang telah diubahsuai sepanjang ADUN Bukit Antarabangsa itu mentadbir negeri menggalakkan ketirisan dan rasuah.
Azmin menggantikan Khalid bagi jawatan nombor satu negeri itu pada September tahun lalu.
Terdahulu Khalid, yang juga ADUN Pelabuhan Klang dipecat dari PKR pada Ogos lepas.
Ia berikutan sikap 'ikut kepala sendiri' dan kedegilan Khalid menuruti arahan dan pendirian parti sepanjang memegang jawatan nombor satu negeri itu.
No comments:
Post a Comment