Wednesday, 22 April 2015

KONSEP 'BERSETUJU UNTUK TIDAK BERSETUJU' TIADA MASALAH










PAS sekali lagi enggan melayan desakan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang sebelum ini berpendirian bahawa konsep 'bersetuju untuk tidak bersetuju' itu membawa kerosakan dalam Pakatan Rakyat (PR).





Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata konsep itu akan dipertahankan memandangkan kerjasama di antara PAS-PKR-DAP masih berjalan lancar, terutamanya di Selangor.





"Walaupun ada masalah tetapi kita masih boleh selesaikannya. Kita masih lagi dapat bekerjasama dan bersahabat dengan meneruskan agenda-agenda kita bersama.





"Di sini (Selangor) kita di dalam DUN ini terdiri daripada semua parti yang ada. Kita dapat mentadbir kerajaan dengan baik dan hari ini pun kita mendapat pujian daripada Tuanku Sultan," katanya yang ditemui pemberita di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, pagi tadi.





Terdahulu Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi dalam satu kenyataannya mendakwa pertelingkahan antara parti-parti komponen PR tidak akan berkesudahan selagi wujud konsep 'bersetuju untuk tidak bersetuju'.





Tambahnya lagi, konsep itulah yang sebenarnya merosakkan kerjasama PAS-PKR-DAP dalam beberapa perkara.





PKR, melalui Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali juga bersetuju konsep itu tidak mendatangkan masalah kepada Pakatan Rakyat.





"Tidak bermasalah. Di dalam Islam sendiri, kita dibenarkan untuk bersetuju untuk tidak bersetuju kerana perbezaan pendapat akan mengukuhkan sesuatu keputusan yang dibuat. Kita tidak boleh ambil sikap diktator, enggan dengar pandangan dan maklum balas daripada pihak lain.





"Sebagai sebuah parti yang mengamalkan prinsip demokrasi dan hak memberikan pandangan, sudah tentu kita meraikan pandangan ini. Namun akhirnya kekuatan PR adalah bertindak dan membuat keputusan atas semangat konsensus dan muafakat.





"Banyak isu besar mendepani PR telah berjaya diselesaikan kerana ada permuafakatan dan konsensus di dalam kepimpinan. Dan ia mesti dipertahankan oleh semua pihak," katanya lanjut.



No comments:

Post a Comment