Meskipun tanpa 'restu' Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohamad Sabu, Dewan Ulama, Dewan Muslimat serta Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepemimpinan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Malah, ketiga-tiga cabang itu mendesak tuduhan jahat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terhadap Abdul Hadi ditarik balik serta merta atau kuburkan Pakatan Rakyat.
Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Mohd Fauzi Yusof, berkata PAS mempunyai hak untuk mengemukakan rang undang-undang berkaitan hudud dalam ruang demokrasi yang dibenarkan.
"Kami juga kesal terhadap tuduhan tidak jujur dan tidak bermaruah ke atas Presiden PAS yang kononnya telah bekerjasama dengan UMNO untuk melanggar semangat konsensus Pakatan Rakyat.
"Tuduhan jahat inilah yang sebenarnya telah menyemarakkan lagi api perselisihan dan memberi nafas baru kepada musuh. Kami menggesa supaya tuduhan ini ditarik balik serta merta, melainkan jika DAP benar-benar mahu Pakatan Rakyat berkubur," katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Kenyataan itu turut ditulis bersama Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Hasanah Idrus dan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Mohd Yusni Mat Piah.
Mohd Fauzi turut menjelaskan bahawa perjuangan memartabatkan syariat Islam, termasuk hudud adalah arahan daripada Allah sebelum kewujudan PAS, PKR, DAP dan pakatan pembangkang lagi.
Justeru katanya, adalah kewajipan PAS untuk menjunjung perintah Allah walaupun ditentang DAP.
"Sebagai parti politik yang memperjuangkan Islam, adalah menjadi kewajipan kami untuk menjunjung tinggi perintah Allah, jauh mengatasi persetujuan manusia termasuk DAP," katanya.
Kelmarin, DAP mengambil keputusan memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Abdul Hadi.
Guan Eng berkata kerjasama DAP dan Abdul Hadi dihentikan serta-merta kerana tindakan Ahli Parlimen Marang itu untuk membentangkan Rang Undang-undang persendirian mengenai hudud di Parlimen disifatkan sebagai pembelot dan tidak bermaruah.
No comments:
Post a Comment