DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan sebelum ini menyebabkan parti itu menasihatkan PKR supaya tidak terlalu yakin untuk mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Justeru Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Johari Abdul berkata partinya menyambut baik ingatan DAP dan tidak akan terlalu selesa untuk memenangi PRK Parlimen itu.
"DAP pernah ada pengalaman pahit di PRK Teluk Intan. Mereka ketika itu yakin akan menang dengan selesa di sana. Sebab itu mereka mengambil Teluk Intan dengan satu keyakinan yang luar biasa, namun mereka akhirnya kalah.
"Maka kita akan ambil iktibar daripada kekalahan DAP di Teluk Intan," katanya.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam menasihatkan PKR agar tidak terlalu yakin untuk menang pada PRK Permatang Pauh, Mei depan.
Beliau berpendapat pertandingan antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya depan agak sengit selain menyifatkan peluang parti itu bertanding kali ini adalah 50:50.
Johari berkata PKR terus berharap isu pemenjaraan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi faktor parti itu meraih kemenangan pada PRK kali ini.
Pada 1998, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding di kerusi itu selepas suaminya ditahan buat pertama kali atas tuduhan meliwat.
Kerusi itu sekali tetap menjadi milik PKR pada Pilihan Raya Umum ke-12, bagaimanapun pada 2008 Wan Azizah bertindak memberi laluan kepada Anwar selepas beliau dibebaskan daripada penjara.
Bukan itu sahaja, PKR berjaya mengekalkan kubu kuatnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan majoriti 11,721 undi.
"Pada saya pandangan itu wajar dan PKR akan mengambil sikap cermat dalam soal ini dengan bekerja sejujur mungkin agar segala yang dirancang berjalan dengan baik. Malah Rakyat di Permatang Pauh memahami tindakan kerajaan memenjarakan Anwar sebagai satu kezaliman yang luar biasa," ujarnya lagi.
PRK Permatang Pauh diadakan selepas Anwar hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen bagi pengampunan diraja yang dipohon keluarganya atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 April ini hari penamaan calon manakala hari pengundian 7 Mei dan pengundian awal 3 Mei.
No comments:
Post a Comment