Rata-rata petugas media hari ini berang apabila Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar gagal mengadakan sidang media bersama ibu kepada Sirul Azhar Umar, sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini.
Beliau sepatutnya membawa Piah Ahmad, 74, pada jam 11.30 pagi tadi di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut sebagai cubaan seterusnya untuk mendedahkan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Perkara ini disebarkan di kalangan petugas media sejak petang semalam melalui aplikasi WhatsApp.
"Ketua Penerangan PAS akan mengadakan satu sidang media bersama dengan ibu Sirul berkenaan perancangan untuk ke Australia dan perkembangan Sirul pada jam 11 pagi di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.
"Orang ramai dijemput hadir memberikan sokongan khususnya pihak wartawan untuk membuat liputan sidang media ini," demikian memetik maklumat sidang media itu.
Bagaimanapun selepas 40 minit menunggu kelibat Mahfuz, seorang kakitangan pejabat parti itu memaklumkan kepada kesemua petugas yang menunggu bahawa tidak ada sebarang sidang media akan diadakan pagi ini.
"Siapa yang beritahu ada sidang media pagi ini? Mahfuz ada di Alor Setar. Setahu saya itu mesej palsu," katanya merujuk kepada kandungan sebaran mesej itu apabila ditanya oleh petugas media.
Namun, apa yang menghairankan adalah sebelum pengumuman itu dilakukan, kakitangan di pejabat berkenaan terlebih dahulu menguji 'PA system' dengan beberapa kali mencuba suara mikrofon untuk digunakan semasa sidang media dijalankan.
Tindakan itu seolah-olah mereka sudah bersedia untuk mengadakan sidang media...namun sebaliknya berlaku.
Tidak lama selepas itu, Mahfuz mengeluarkan satu kenyataan media ringkas yang memaklumkan beliau akan menyertai misi khas ke Australia pada Ahad ini pada jam 11 pagi.
Isnin lalu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mengadakan tele-conferencing bersama Sirul yang kini berada di Australia dengan perlindungan ekstradisi selepas dijatuhi hukuman mati sebaik sahaja didapati bersalah membunuh Altantuya.
Bagaimanapun, Mahfuz terpaksa menerima hakikat bahawa Sirul enggan membuat apa-apa pendedah, meskipun beliau beberapa kali meminta bekas ahli Unit Tindakan Khas (UTK) itu berbuat demikian semasa proses komunikasi itu berlangsung.
No comments:
Post a Comment